PRESS RELEASE

HATRIK BAKER BANTU NEW ZEALAND BELASAH KANADA

New Zealand membuktikan status sebagai pasukan pilihan apabila mudah mencatat kemenangan 7-1 ke atas Kanada pada aksi pertama Piala Sultan Azlan Shah 2024 di Stadium Azlan Shah, sebentar tadi.

Sebaik sahaja wisel permainan ditiup, skuad kendalian Greg Nicol hanya memerlukan 17 saat untuk membuka tirai jaringan menerusi gol padang diledak Scott Boyde.

George Baker menggandakan kelebihan buat New Zealand pada minit ke-16 menerusi gol padang.

Asakan bertali arus New Zealand sekali lagi membuahkan hasil pada minit ke-26 dan tiba giliran Jake Smith mencetak nama sebagai penjaring selepas menyempurnakan pukulan sudut penalti.

Pesta gol anak buah Nicol diteruskan dengan dua lagi gol masing-masing pada minit ke-42 dan m-45 menerusi Baker serta Smith hasil gol padang.

Dua minit kemudian Rowan Childs menyempurnakan pukulan sudut penalti untuk Kanada memperolehi gol pertama.

Bagaimanapun, ia tidak mampu menyekat New Zealand yang menambah derita Kanada dengan Baker mencatat hatrik pada minit ke-59 menerusi gol padang dan Boyde menutup kemenangan bergaya buat pasukannya apabila meledak gol ketujuh pada penghujung perlawanan juga melalui gol padang.

Disebalik kemenangan itu, Nicol mengakui anak buahnya sedikit bergelut dengan keadaan cuaca panas yang mencecah 31 darjah Celcius namun mereka masih mampu mempamerkan prestasi terbaik.

“Pada awal perlawanan kami sedikit bergelut dengan keadaan cuaca panas tetapi pujian harus diberikan kepada pemain-pemainnya yang mampu mengatasi perkara itu.

“Kami memperolehi 11 pukulan sudut penalti dan hanya mendapat satu gol tapi itu tidak membimbangkan saya kerana tiga pemain yang ditugaskan tidak bersama kami kerana bermain di Liga Eropah,” kata  Nicol selepas perlawanan.

Sementara itu, jurulatih Kanada, Patrick Tshutshani menyifatkan ia sebagai pengajaran berguna untuk anak buahnya apabila menentang pasukan di ranking 10 dunia berbanding skuadnya di kedudukan ke-19 dunia.

“Seperti saya kata sebelum ini, Kanada pasukan yang baru dibentuk dan membariskan pemain muda. Perlawanan ini satu pengajaran berguna kepada pasukan kami.

“Pujian harus diberikan kepada penjaga gol pada perlawanan ini kerana menyelamatkan banyak percubaan New Zealand,” jelasnya.