Jepun berjaya melakar kemenangan ke atas seterunya, Korea Selatan menerusi keputusan 2-1 pada aksi pertama Piala Sultan Azlan Shah 2024 di Stadium Azlan Shah, sebentar tadi.
Turun dengan misi mencipta kemenangan pertama, Tsubasa Tanaka meletakkan Jepun mendahului pada minit ke-13 menerusi gol padang.
Anak buah Yosuke Matsumura menggandakan jaringan pada minit ke-20 selepas Shota Yamada menyempurnakan pukulan sudut penalti.
Memasuki suku keempat, Korea Selatan berjaya memperolehi pukulan sudut penalti pertama namun gagal disudahkan oleh Lim Dohyun pada minit ke-46.
Sikap tidak berputus asa Korea Selatan mencari gol akhirnya berhasil menerusi ledakan Dohyun yang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-52 namun usaha memungut sekurang-kurangnya satu mata tidak berjaya.
Aksi terakhir pertembungan kedua-dua pasukan adalah di Kejohanan Hoki Hero Trofi Juara-Juara Asia, Chennai, India yang menyaksikan Jepun mencatat kemenangan 5-3 ke atas Korea Selatan.
Esok, Korea Selatan yang berada di ranking ke-11 dunia akan menentang Pakistan manakala Jepun ditangga ke-16 dunia berdepan New Zealand.
KOREA SELATAN: MIN TAESEOK (JURULATIH)
Korea Selatan pasukan baharu dan dibarisi pemain muda. Tiada apa-apa kekesalan tewas kerana pemain telah berusaha bermain dengan baik.
Keadaan cuaca panas menyebabkan kami bergelut sedikit dalam perlawanan ini, apa pun masih ada empat lagi perlawanan dan kami akan memperbaiki kesilapan dan bermain lebih baik pada perlawanan seterusnya.
JAPAN: YOSUKE MATSUMURA (JURULATIH)
Benar mereka berada di ranking lebih baik tetapi Korea Selatan pasukan baharu dibentuk, sama seperti Jepun tetapi dalam perlawanan ini, pemain kami berjaya memanfaatkan peluang yang dicipta dengan gol.
Pemain-pemain juga bermain mengikut perancangan saya dan sangat berdisiplin ketika bertahan serta menyerang, itu sebab kemenangan memihak kepada kami. Kami mahu meneruskan rentak kemenangan pada perlawanan esok.
PEMAIN TERBAIK PERLAWANAN: SHOTA YAMADA
Sudah pasti gembira apabila dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan dan pengiktirafan ini diharap mampu memberi inspirasi kepada pemain muda juga.
Sasaran tetap sama iaitu menamatkan kejohanan di tempat pertama, itu misi kami di sini(Piala Sultan Azlan Shah).