Jepun boleh dikatakan sebagai ‘pembunuh gergasi’ di Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh selepas melakar kemenangan kali kedua ke atas pasukan yang berada dikedudukan ranking dunia lebih tinggi daripada mereka.
Jepun yang berada di kedudukan ke-16 dunia berjaya membenam pasukan ditangga ke-10 dunia, New Zealand yang juga bakal beraksi di Sukan Olimpik Paris dengan keputusan 4-1.
Kemenangan itu menjadi kejutan kedua dilakukan pasukan kendalian Yoshihiro Anai di kejohanan edisi ke-30, selepas Korea Selatan yang berada ditangga ke-11 dunia menjadi ‘mangsa’ pertama mereka.
Pada aksi itu, Kimura Naru membuka tirai jaringan pada minit ke-13 buat Jepun menerusi gol padang.
Skuad Samurai berjaya menggandakan jaringan pada minit ke-23 menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Fujishima Raiki.
New Zealand cuba bangkit dengan mencipta beberapa peluang namun gagal menembusi benteng kebal Jepun.
Sebaliknya, menerusi satu serangan balas pantas Jepun, Tsubasa Tanaka berjaya merobek gawang New Zealand buat kali ketiga menerusi gol padang pada minit ke-43.
Usaha New Zealand untuk mencari gol pertama akhirnya berjaya pada minit ke-55 hasil pukulan sudut penalti dilakukan Scott Cosslett namun Jepun kembali menjarakkan kedudukan menerusi Ken Nagayoshi pada penghujung akhir perlawanan.
Kemenangan itu menyaksikan skuad Samurai mengutip mata penuh dalam dua perlawanan awal sebelum perlawanan berehat selama satu hari esok.
Untuk rekod, pertemuan kali terakhir antara kedua-dua pasukan berakhir dengan keputusan 2-2 pada Olimpik Tokyo 2020.
JEPUN: YOSHIHIRO ANAI (JURULATIH)
”Pemain bermain dengan cukup disiplin dan mengikut segala taktikal yang dirancang.
Kami fokus kepada taktikal bertahan dan melakukan serangan balas, strategi itu berjaya sebab itu kami menang ke atas New Zealand.
New Zealand pasukan yang lebih baik daripada kami berdasarkan kedudukan ranking dan fizikal tetapi pemain-pemain berjaya mengatasi perkara itu di atas padang dan pujian untuk mereka diatas prestasi terbaik ditunjukkan.”
PEMAIN TERBAIK PERLAWANAN : TSUBASA TANAKA (JEPUN)
”Saya hanya fokus kepada setiap arahan jurulatih dan berusaha untuk bermain sebaik mungkin untuk pasukan. Saya mula bermain dengan pasukan negara pada usia 15, 18, 21 tahun dan kini bersama skuad senior.
Untuk lawan Pakistan saya akan cuba jaringkan dua gol.”
NEW ZEALAND: GREG NICOL (JURULATIH)
Pertama kali saya ucapkan tahniah kepada Jepun di atas kemenangan ini. Mereka memanfaatkan setiap peluang dan kami juga mencipta peluang tetapi tidak menyudahkannya dengan baik
Mereka (Jepun) bermain dengan baik dan menjadi salah satu pencabar utama dalam kejohanan ini. Masih ada tiga perlawanan lagi untuk dihadapi selepas ini dan kejohanan ini sentiasa kompetetif serta menghadirkan aksi berintensiti tinggi.
Hari ini Jepun sememangnya bermain lebih bagus daripada kami dan juga bertahan dengan sangat baik sehingga menyukarkan jentera serangan kami untuk menjaringkan gol.