Pakistan membuktikan persiapan singkat yang dilakukan sebelum tiba di Ipoh bukan halangan untuk mereka menyerlah dalam kempen Piala Sultan Azlan Shah 2024.
Terdahulu, Pakistan dipaksa bekerja keras untuk menewaskan Malaysia 5-4 pada perlawanan pertama PSAS edisi ke-30, semalam.
Rentak kemenangan diteruskan anak buah Roelant Oltmans pada perlawanan kedua dengan menewaskan Korea Selatan 4-0, sebentar tadi.
Pesta gol Pakistan bermula pada minit ketiga menerusi bintang muda mereka, Hannan Shahid yang menerusi larian solo sebelum melakukan pukulan deras di sebelah kanan penjaga gol lawan, Kim Jaehyeon.
Gawang Korea Selatan terus bocor dan kali ini menerusi penyudah Arshad Liaqat pada minit ke-20 hasil gol padang.
Tersentak dengan jaringan itu, Korea Selatan cuba bangkit dan berjaya memperolehi tiga pukulan sudut penalti pada babak pertama namun gagal menyempurnakan dalam bentuk gol.
Sebaliknya, Pakistan menggandakan kelebihan gol menerusi jaringan padang yang diledak oleh Ghazanfar Ali pada minit ke-27.
Ketika perlawanan memasuki 10 minit terakhir, Sufyan Khan melengkapkan kemenangan bergaya Pakistan selepas menyudahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-50.
Dalam perlawanan itu, menyaksikan Korea Selatan mengumpul enam pukulan sudut penalti tetapi gagal menjaringkan gol manakala Pakistan memperolehi lima pukulan sudut penalti dengan menyempurnakannya satu.
Untuk rekod, Korea Selatan berada di ranking ke-11 dunia manakala Pakistan dikedudukan 15 dunia.
PAKISTAN: ROELANT OLTMANS (JURULATIH)
”Semalam kami mendapat tentangan sengit (menentang Malaysia), anda (media) semua tahu tetapi hari ini sebelum lima minit perlawanan kami dihadapan menerusi gol yang menarik dijaringkan (Hannan Shahid).
Saya rasa kami bermain lebih baik berbanding perlawanan semalam, kami lebih banyak mengusai permainan dan beberapa kelemahan berjaya diperbaiki. Sudah tentu saya gembira dengan kemenangan ini.
Tentunya kami melakukan analisis tentang corak permainan Korea Selatan
Kemenangan hari ini sudah tentu kami melakukan analisis video tentang Korea Selatan dan mengetahui tentang mereka dan pemain menjaya perancangan saya dengan sangat baik untuk mendapat kemenangan.”
PEMAIN TERBAIK PERLAWANAN: HANNAN SHAHID
”Gol yang dijaringkan tadi (minit ketiga) semua atas kerjasama satu pasukan bukan kerana kemahiran individu saya sendiri. Bagaimana gol dijaringkan itu tidak penting kerana perkara paling utama adalah mendapatkan kemenangan untuk negara saya.
Ini sukan berpasukan dan penting untuk bermain sebagai satu pasukan. Keputusan sama ada menang atau kalah kami akan ambil tanggungjawab bersama.”
KOREA SELATAN: MIN TAESEOK (JURULATIH)
”Menentang Pakistan kami tidak boleh terlalu memberi peluang dan melakukan kesilapan mudah dan jika berlaku jentera serangan mereka akan menghukum kami.
Kami masih memerlukan masa untuk membentuk pasukan baru ini dan memberi mereka pengalaman dalam membentuk pasukan lebih baik pada masa akan datang.”