Skuad hoki lelaki negara mendapat tonik terbaik untuk memulakan kempen Piala Sultan Azlan Shah 2024 selepas mencatat kemenangan 3-2 ke atas New Zealand pada aksi persahabatan yang berlangsung di Stadium Hoki Azlan Shah, hari ini.
Lebih manis, kemenangan itu dicatat ke atas pasukan yang telah layak ke Sukan Olimpik Paris.
Ketua jurulatih Speedy Tigers, Sarjit Singh mengakui perlawanan sebegini memberi manfaat cukup baik kepada pasukan dan ia merupakan perlawanan yang berintensiti tinggi.
Jelasnya, keputusan perlawanan bukan menjadi keutamaan tetapi dapat dilihat bagaimana pemain-pemain memberi komitmen sepenuh hati di atas padang.
“Perlawanan seperti ini yang kita mahukan, tempo perlawanan yang cukup tinggi dan memberi manfaat yang cukup baik kepada pemain-pemain.
“Pujian juga harus diberikan kepada setiap pemain kerana memberi komitmen yang cukup baik dan seperti yang saya katakan, kami memerlukan masa untuk membentuk keserasian,” katanya selepas perlawanan persahabatan itu berakhir.
Pada aksi itu, Speedy Tigers ketinggalan dua kali namun bangkit untuk menjaringkan dua gol iaitu satu diperolehi menerusi pukulan sudut penalti manakala dua hasil gol padang.
Dalam masa sama, Sarjit turut berharap peminat-peminat tempatan untuk terus memberi sokongan positif kepada pasukan dan memberi beliau masa kepada beliau dan pemain-pemain membentuk pasukan yang mantap.
“Saya harap semua pihak termasuk peminat dapat memberi sokongan penuh kepada kami dalam membentuk sebuah pasukan mantap,” jelasnya.
Malaysia yang berada di ranking ke-13 dunia, akan memulakan kempen menentang juara tiga kali Pakistan pada 4 Mei, diikuti aksi menentang Kanada (5 Mei), juara dua kali New Zealand (7 Mei), Jepun (8 Mei) dan juara tiga kali Korea Selatan (10 Mei).
Berdasarkan format kejohanan yang telah memasuki edisi ke-30, dua pasukan teratas liga sepusingan akan mencabar untuk kejuaraan, manakala pasukan di kedudukan ketiga dan keempat akan beraksi dalam penentuan tempat ketiga.